KUALA LUMPUR – Menghimpunkan sebanyak 10 jenama nasi kandar terbaik di Malaysia, Nasi Kandaq Fest 2023 yang berlangsung selama dua hari di Sunway Putra Mall bermula hari ini hingga esok, berjaya menarik perhatian penggemar tegar hidangan popular itu.
Penganjur Nasi Kandar Fest 2023, FriedChillies menjangkakan seramai 10,000 pengunjung bakal membanjiri lokasi festival tersebut sepanjang tempoh ia berlangsung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Adly Rizal, keunikan nasi kandar terletak pada kuantiti kuah diletakkan ‘joki’ (tukang penceduk kuah dan lauk-pauk) yang boleh diibaratkan seperti barista di kafe minuman.
“Seorang peminat kandar tegar akan tahu sepinggan nasi kandar yang sempurna bukan hanya terletak pada kombinasi kari, tetapi juga kemahiran seorang joki.
“Seorang joki nasi kandar ibarat barista di kafe. Inilah yang membezakan kedai nasi kandar daripada kedai mamak, kemahiran joki itu yang membawa kelainan,” katanya kepada Scoop.
Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ditemui Scoop, Mohd Fakharuddin Zainol Abidin, 40, berkata, sebagai anak jati Pulau Pinang, dia sememangnya teruja menantikan festival tersebut.
“Saya memang dah lama tunggu festival seperti ini diadakan di sini. Saya berasal dari Bukit Mertajam tetapi menetap di Damansara.
“Sebulan sekali saya pasti akan pulang ke kampung, semata-mata untuk merasai keaslian nasi kandar di sana.
“Memandangkan dah ada festival minggu ini, jadi saya tak perlulah balik kampung bulan ini,” katanya dalam nada berseloroh.
Pada masa sama, nasi kandar turut menjadi salah satu sajian kegemaran Fazwani Abdul Kadir, 37, yang mengakui tidak begitu menggemari hidangan tersebut sebelum ini.
“Secara jujurnya, saya baharu nak berjinak-jinak dengan nasi kandar sebab selalu tengok orang buat reviu di TikTok. Dari situ saya macam berminat nak mencuba.
“Lepas saya cuba, ternyata memang sedap pilihan lauk-pauk yang disediakan. Paling penting campuran kuah disediakan joki membuatkan kita jadi lagi berselera dengan hidangan itu.
“Untuk hari ini, memang saya nak cuba nasi kandar yang memang original (asli) dari Pulau Pinang yang tidak ada lagi cawangan di Lembah Klang iaitu Nasi Kandar Bawah Pokok Jamal Mohamed,” katanya.
Haziqah Hanafi, 27, dari Kajang pula berkata, dia kagum melihat keunikan variasi makanan yang ada di negara ini, sekali gus mencerminkan sikap muhibah rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Saya sebenarnya teruja apabila tengok rakyat Malaysia berbilang kaum. Ada Melayu, Cina dan India yang sama-sama beratur untuk mendapatkan hidangan nasi kandar kegemaran mereka.
“Rahsia kesedapan nasi kandar, saya rasa mungkin disebabkan rempah ratus yang digunakan sesuai dengan tekak masyarakat tempatan.
“Ramai sukakan kuah pekat dan disebabkan itu ia menjadi antara makanan yang cukup popular di Malaysia,” katanya.
10 jenama popular nasi kandar yang menyertai Nasi Kandar Fest 2023 itu ialah Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru, Restoran Hameediyah, Saddam Nasi Kandar, Restoran Kudul Abdul dan Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed).
Turut serta ialah Sithique Nasi Kandar, Restoran Yusuf, Nasi Kandaq Talam Johor Bahru, Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam dan Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng. – 23 September, 2023