SHAH ALAM — Seorang pesara kerajaan berharap supaya penjualan Beras Ehsan, yang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dapat diperluaskan ke seluruh Selangor, bukan hanya di beberapa outlet terpilih sahaja bagi memudahkan pengguna mendapatkan beras pada harga yang munasabah.
Menurut Noordin Sultan, 72, isu kekurangan bekalan beras tempatan tidak boleh dipandang ringan dan penjualan Beras Ehsan ini dapat membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang melampau.
“Jangan pandang ringan isu sebegini sebab beras ini makanan utama kita. Jadi sangat pelik bila beras import lebih banyak dijual berbanding beras tempatan. Adakah sudah mula kembali taktik kartel sorokkan stok beras. Harus diteliti terperinci apakah pokok membelenggu ketiadaan beras.
“Saya menyambut baik walaupun harga beras naik RM13, masih berpatutan. Apa yang dilakukan ini kita mengharapkan negeri-negeri lain dapat membuat program seperti yang dilaksanakan oleh Selangor dalam membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang melampau,” katanya.
Setiap hari, PKPS melaksanakan Kempen Jualan Beras Ehsan dengan 2,700 kampit beras ditempatkan di tujuh lokasi pada harga RM13 bagi 5kg termasuk di Wisma PKPS di Seksyen 14; Outlet Ehsan PKPS di Seksyen 9; Ehsan PKPS di Meru serta Kiosk Ehsan di Selangor Fruit Valley.
Dalam pada itu, seorang wanita sanggup meredah perjalanan sejauh 20 kilometer semata-mata kerana tidak mahu melepaskan tawaran mendapatkan beras tempatan dengan harga yang berpatutan, yang disediakan oleh PKPS.
Fauziah Ibrahim, 64, yang merupakan seorang pesara swasta berkata, meskipun harga beras untuk Jualan Rahmah adalah RM10 bagi 5kg, namun dia tidak kisah membeli di outlet PKPS pada harga RM13 bagi jumlah yang sama.
“Yang RM10 tu (ketika ini) untuk Jualan Rahmah yang dianjurkan oleh wakil rakyat di kawasan masing masing tapi di outlet PKPS saya memang tahu harganya RM13. Saya tak kisah sangat sebab harganya masih murah, kalau pasar raya atau kedai runcit lain, memang tidak dapat.
“Selain beras, saya turut membeli sardin, telur dan juga tepung di mana harganya tidak sampai RM70, kalau dekat tempat lain dengan kuantiti barang yang sama, sudah pasti akan mencecah sehingga RM100,” katanya ketika ditemui Scoop.
Dalam pada itu, aktivis masyarakat, Muhammad Ridwan Mohd Asharo, 33, pula berkata, meskipun harga Beras Ehsan dan harga beras Jualan Rahman berbeza namun dia tidak kisah kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding di pasar raya mahupun kedai runcit lain.
Menurut Ridwan, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Selangor sangat membantu meringankan beban dirinya, khususnya dalam menyediakan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Kekurangan beras tempatan di tempat lain, selain harganya yang melebihi RM20 ketika ini, sangat menyukarkan saya khususnya untuk membantu masyarakat yang hidupnya susah sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan daripada orang lain.
“Saya okey sahaja harga sekarang RM13, walaupun saya dulu selalu beli dengan harga RM10. Harganya masih munasabah dan saya masih mendapat bekalan beras tempatan dan bukannya beras import,” katanya.
Manakala bagi suri rumah, Nor Azlina Husin, 44, pula berharap agar Kerajaan Selangor membenarkan orang ramai membeli dua kampit beras untuk setiap pembelian.
“Saya tidak mampu nak beli beras import kerana harganya jauh berbeza dengan beras tempatan dan sukar untuk mencari beras tempatan di sekitar Shah Alam.
“Kami tinggal bertujuh termasuk ibu dan ayah saya. Apabila ada promosi sebegini sudah semestinya saya tidak akan lepaskan peluang kerana boleh berjimat apatah lagi dapat membeli barang murah terutama telur yang dijual RM10 untuk sepapan, manakala beras RM13 untuk 5kg,” katanya. – 22 September, 2023