Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Polis minta MCMC, CSM jejak sumber e-mel ancaman bom di Bank Negara | Scoop

Polis minta MCMC, CSM jejak sumber e-mel ancaman bom di Bank Negara

1:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Cyber Security Malaysia (CSM) bagi menjejak sumber e-mel berhubung ancaman bom di Bank Negara Malaysia (BNM), semalam. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata siasatan berhubung ancaman itu dibuat susulan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti pelaku.

Beliau berkata buat masa ini, polis belum mengenal pasti individu yang menghantar e-mel berkenaan.

“Oleh itu, kami akan minta MCMC dan CSM untuk jejak sumber e-mel berkenaan,” katanya pada sidang media Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur Fasa 2 di sini hari ini. 

Semalam, kakitangan BNM menerima satu e-mel mengenai ancaman bom pada 3 petang, namun pemeriksaan hampir dua jam oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ancaman tersebut tidak benar dan pusat kewangan negara itu disahkan selamat. 

Sementara itu, Allaudeen berkata setakat ini polis selesai merakam keterangan 27 individu bagi membantu siasatan berhubung penganjuran perhimpunan tanpa permit di ibu negara pada Sabtu lepas. 

Beliau berkata buat masa ini berbaki dua lagi individu yang belum tampil daripada keseluruhan 29 yang telah dikenal pasti untuk dirakam percakapan walaupun tarikh akhir untuk berbuat demikian telah ditetapkan hingga semalam.

“Dua individu berkenaan diharap dapat tampil kalau tidak kita akan keluarkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah hari ini juga. Itu jalan terakhir kita untuk selesaikan siasatan sebelum rujuk Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 16 Sept, seramai 850 peserta hadir di perhimpunan anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang telah disahkan polis sebagai tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal mengemukakan permohonan lengkap mengikut keperluan Jadual 4 dalam Seksyen 10 akta berkenaan. – 21 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related