KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) mengingatkan pembangkang bahawa peguam negara (AG) yang bertanggungjawab mencadangkan pelepasan bersyarat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dilantik ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Mengulangi ketidakterlibatannya dalam pelepasan bersyarat (DNAA) yang diberikan kepada timbalannya itu, Anwar menekankan komitmennya untuk tidak bertolak ansur dengan “sistem” lalu yang membenarkan ahli politik korup mengelak keadilan.
“DNAA (yang diberikan kepada Zahid) bukanlah satu kes yang terkecuali. Terdapat kes terdahulu di mana mahkamah menyampaikan keputusan DNAA selepas prima facie ditubuhkan, termasuk kes melibatkan ahli parlimen pembangkang yang saya tidak akan namakan kerana bimbang menyinggung perasaan mereka.
“Akhirnya, keputusan peguam negara. Putrajaya (Ahli Parlimen Bersatu Datuk Mohd Radzi Md Jidin) tahu (ini kerana) pentadbiran yang dulu dan peguam negara yang lama (Tan Sri Idrus Harun), sebab itu dia (pembangkang) tidak tahan hendak mendengar penjelasan saya (mengenai DNAA Zahid).
“Mereka sudah biasa dengan sistem itu mereka fikir saya terus dengan sistem itu, sebab itu saya jawab dengan tegas (mengenai isu DNAA Zahid),” kata Anwar ketika ucapan penggulungan pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Parlimen hari ini.
Idrus, yang bersara sebagai peguam negara sehari selepas DNAA Zahid diberikan pada 4 September, sebelum ini dilantik oleh pentadbiran perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).
Ketika ditekan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) sama ada beliau lupa ikrar untuk tidak akan tunduk kepada tuntutan perasuah, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata tuduhan sedemikian adalah tidak berasas.
“Keputusan (untuk mengemukakan permohonan DNAA) terletak kepada budi bicara peguam negara. Mengapa membuat tuduhan melulu dan biadap menyerang perdana menteri, mendakwa saya campur tangan (pemberian DNAA)?
“Apa bukti saya campur tangan (bahawa saya campur tangan dalam pemberian DNAA)? Peguam Negara itu (Idrus) adalah peguam negara yang dipilih oleh ketua kamu (Muhyiddin) dan saya tidak menukar peguam negara itu. Sekarang, seolah-olah kamu mendesak saya mengarahkan peguam negara untuk mendakwa (Zahid).
“Kalau saya arah peguam negara dakwa TPM1 saya jadi hero, saya tidak boleh langgar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan (kuasa Peguam Negara, yang boleh melaksanakan mengikut budi bicaranya untuk menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan),” kata Anwar.
Dalam pada mengingatkan janji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan siasatan mereka terhadap kes rasuah Yayasan Akalbudi Zahid dan mengemukakan sebarang bukti yang mungkin kepada mahkamah, Anwar turut mengulangi bahawa beliau tidak mempunyai pengaruh terhadap keputusan Idrus untuk mengemukakan DNAA.
“Apabila Peguam Negara membuat keputusan, saya bertanya kepadanya (mengenainya). Saya tidak membincangkan perkara itu dengannya, saya hanya minta dia menjelaskan sebabnya (di sebalik keputusan itu).
“Saya tahu ramai yang tidak berpuas hati (dengan DNAA Zahid), itu hak mereka untuk tidak berpuas hati. Saya bersimpati dengan Peguam Negara sekarang (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) yang perlu menangani perkara yang diputuskan oleh Peguam Negara yang dilantik Pagoh (Muhyiddin),” kata Anwar.
Anwar berkata, sebelum ini Idrus memutuskan untuk mengemukakan permohonan DNAA itu selepas meneliti fakta kes berkenaan yang melibatkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Zahid.
Anwar berkata Idrus telah meneliti kira-kira 200 muka surat representasi yang dikemukakan oleh peguam Zahid sebelum memutuskan untuk memberi pembebasan bersyarat kepada Zahid. – 19 September 2023