Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Hentikan serta-merta, siasatan polis terhadap Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ langgar APA 2012: LFL | Scoop

Hentikan serta-merta, siasatan polis terhadap Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ langgar APA 2012: LFL

LFL berpendapat, siasatan berterusan untuk dakwaan kegagalan memberikan notis sewajarnya mengenai perhimpunan adalah tanpa sebarang asas undang-undang

1:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) menegaskan siasatan polis terhadap penganjuran Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ pada Sabtu lalu adalah melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Pengarahnya, Zaid Malek berkata, tindakan polis mengisytiharkan perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana gagal memberikan notis mencukupi, bukan sahaja melangkaui bidang kuasa APA, tetapi juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun ada pelanggaran akta seperti didakwa, ini dengan sendirinya tidak membenarkan polis mengisytiharkan perhimpunan menyalahi undang-undang.

“Hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan yang termaktub dalam perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, adalah menyalahi undang-undang untuk polis membuat pengisytiharan sedemikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan berterusan untuk dakwaan kegagalan memberikan notis sewajarnya mengenai perhimpunan adalah tanpa sebarang asas undang-undang.

Katanya, siasatan sedemikian adalah untuk kesalahan di bawah Seksyen 9(5) APA, yang menyatakan bahawa kegagalan untuk memberi notis akan menyebabkan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

“Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah pun menolak Seksyen 9(5) APA kerana melanggar Perlembagaan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad lwn Pendakwa Raya pada 2014.

“Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ini masih kekal dan tidak dibatalkan oleh mahkamah lebih tinggi (Mahkamah Persekutuan),” katanya.

Beliau berkata, walaupun pada 2015 dalam kes Pendakwa Raya lwn Yuneswaran, mahkamah memberi pendapat bahawa Seksyen 9(5) Akta APA adalah berperlembagaan dan tidak bersetuju dengan keputusan Nik Nazmi.

“Bagaimanapun, mahkamah pada 2015 tidak boleh menolak keputusan awal itu kerana kedua-dua mahkamah berada pada tahap yang sama.

“Hanya Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tinggi, boleh menolak keputusan Nik Nazmi. Ini tidak pernah berlaku, dan keputusan itu kekal sah dan boleh dikuatkuasakan sehingga kini,” katanya.

Zaid berkata, kes itu mempunyai kesan yang serius untuk siasatan polis yang dikatakan mengenai pelanggaran APA.

“Kerajaan tidak boleh membenarkan polis berleluasa dengan melakukan siasatan yang menyalahi undang-undang. Kita bukan di bawah pemerintahan polis. Mereka tidak boleh melaksanakan apa yang tidak termaktub dalam undang-undang.

“Amat mengejutkan Jabatan Peguam Negara membenarkan penyiasatan dan pendakwaan ini dijalankan walaupun keputusan mahkamah pada 2014,” katanya.

Justeru, beliau berkata, polis harus menghentikan serta-merta semua penyiasatan di bawah Seksyen 9(5) APA.

“Semua siasatan atau pendakwaan yang belum selesai di bawah APA sejak 2014 juga mesti digantung, dan perkara itu dirujuk untuk dilupuskan kepada Peguam Negara.

“Hak Perlembagaan dan undang-undang kita mesti dilindungi, dan pencabulannya, terutamanya oleh pihak berkuasa penguatkuasaan tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ menyalahi undang-undang kerana didakwa tidak mematuhi APA 2012.

Pada April 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim, Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof, memutuskan Seksyen 9 (5) APA tidak berperlembagaan kerana sebarang ketidakpatuhan di pihak penganjur tidak mengundang hukuman jenayah.

Mohd Ariff memutuskan peruntukan APA tidak boleh ditafsirkan sebagai tidak mematuhi undang-undang hanya kerana perhimpunan itu diadakan tanpa memberi notis dalam tempoh 10 hari yang ditetapkan atau notis disingkatkan. –

Seorang lagi hakim, Hakim Datuk Mah Weng Kwai pula berkata, Seksyen 9 (5) APA yang menetapkan kegagalan penganjur memberikan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan sebagai perlakuan jenayah adalah tidak munasabah kerana ia umpama melarang diadakan perhimpunan segera atau spontan.

Beliau berkata, hak untuk menganjurkan perhimpunan aman hanya boleh disekat secara munasabah dan bukan dilarang seperti didefinisikan dalam Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan. – 18 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related