Kalau 10 kali buat persembahan bersama MPO, saya tetap akan gementar, Hazama akui sukarnya menyanyi dengan orkestra

Jelas Hazama lagi, dia juga berasa bertuah apabila berpeluang untuk berkongsi pentas dan membuat persembahan bersama dengan Liza Aziz

Walaupun sudah punya pengalaman dua kali beraksi bersama MPO di DFP sebelum ini, namun Hazama akui masih berasa sukar dan gementar untuk beraksi dengan iringan muzik orkestra - Gambar Instagram, 18 September, 2023

KUALA LUMPUR – Biarpun sudah acap kali membawakan lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, namun penyanyi Hazama mengakui ia bukanlah suatu tugas yang mudah tatkala beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

“Walaupun sebelum ini, saya sudah dua kali membuat persembahan di DFP bersama MPO, tapi saya sering berasa gementar. Perasaannya, gementarnya lain macam. Bahkan, kalau pun 10 kali saya buat persembahan dengan MPO, saya tetap akan merasai perasaan yang sama.  Sebab menyanyi dengan MPO ini sangat berbeza.

“Tidak macam kita menyanyi dengan band muzik seperti yang biasa kita persembahkan di dalam TV atau di mana-mana persembahan biasa.  Persembahan muziknya lebih terperinci dan penyusun muzik pula mempunyai interpretasi mereka sendiri terhadap muzik lagu yang mereka susun,” katanya.

Hazama berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai persembahannya di dalam Konsert A Tribute to Sudirman bersama MPO, malam tadi.

Menurut Hazama lagi, dia sememangnya memberikan fokus yang lebih terhadap persembahannya di dalam konsert tersebut terutama untuk lagu Pelangi Petang.

“Bagi saya lagu ini adalah lagu paling susah untuk saya nyanyikan sebab susunan muziknya dihasilkan luar dari kebiasaan.  Untuk menyanyi dengan orkestra seperti MPO pula memang mencabar diri saya sebagai seorang penyanyi. Sebab ia mempunyai tempo yang adakalanya cepat dan adakalanya lambat.  

“Jadi, kita kena lebihkan masa untuk membuat latihan dan tidak boleh berasa terlalu selesa. Saya rasa semua penyanyi akan mempunyai perasaan yang sama dengan saya kecuali Liza Aziz kerana dia memang seorang yang legend dan seorang yang berpengalaman.

“Sebab, raya-rata pemuzik MPO bukan calang-calang pemuzik. Mereka adalah pemuzik yang terbaik dan kita kena bagi fokus 200 peratus. Penyusun muzik juga adalah pemuzik jelas A. Jadi, saya yang hanya penyanyi biasa-biasa ini sekadar menurut perintah.

“Saya juga sangat menetapi masa di MPO. Kalau show lain, call time selalunya jam 10, saya mungkin akan datang jam 10.30. Tapi, di MPO, call time jam 10, jam 6 saya sudah keluar. Sebab isteri saya, Genervie Kam memberitahu bahawa pemuzik MPO sangat berdisiplin. Jadi, di MPO saya dapat belajar etika disiplin mereka,” katanya.

Jelas Hazama lagi, dia juga berasa bertuah apabila berpeluang untuk berkongsi pentas dan membuat persembahan bersama dengan Liza Aziz.

“Waktu dia menyanyi di sebelah saya, saya cakap dalam hati saya, ‘Sedapnya suara akak’.  Saya memang benar-benar menikmati kesedapan suaranya seperti mana penonton.

“Ini pertama kali saya saya berjumpa dengan Kak Liza dan kali pertama juga saya dapat dengar Kak Liza nyanyi live di sebelah saya. Saya tidak mahu buang masa dan ambil momen itu untuk menghayati nyanyiannya.

“Kak Liza juga seorang penyanyi yang cukup eksklusif. Jadi, saya sangat beruntung sebab Kak Liza sudi untuk berkongsi tip menyanyi dengan orkestra. Dia tidak lokek ilmu dan mengajar beberapa tip termasuk cara memegang nota dan menyanyi dengan sedap.

“Alhamdulillah, bukan sahaja saya dapat buat persembahan dengan Kak Liza di dalam konsert ini tetapi juga turut mengutip ilmu daripadanya,” katanya. – 18 September, 2023