KUALA LUMPUR — Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima dengan hati terbuka terhadap kritikan bahawa beliau mempunyai hubungan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘boneka’ dan ‘cucu atok’.
Namun Ahli Parlimen Muar itu menyarankan mereka yang memberikan gelaran seumpama itu supaya melihat track record kerjanya selama ini, iaitu ketika beliau menjadi menteri di mana banyak perkara dibangkitkan tidak mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri tersebut.
“Saya ada dengar banyak kali, diperalat, diperkuda dan cucu atok. Saya terima kritikan dengan hati terbuka cuma saya sarankan tengok track record saya, masa saya dalam kerajaan ramai yang tahu. Ada perkara yang saya perjuangkan ditentang oleh Tun.
“Sebagai contoh isu gaji minimum di mana Tun menentangnya tapi saya bangkitkan banyak kali. Begitu juga dengan isu RM6.5 bilion peruntukan dana khas untuk menjana pekerjaan kepada anak muda. Pada peringkat awal tidak dipersetujui tapi saya dan yang lain mendesaknya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan podcast PodaBoom ‘The Good, The Bad, and The Ugly’ baru-baru ini.
Ia dihoskan oleh ketua pengarang kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Zainul Arifin dan pengarah eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (Rocky).
Syed Saddiq berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan Dr Mahathir sehingga ada yang menggelarnya sebagai boneka kepada bekas Perdana Menteri itu.
Pada 10 September lalu, Syed Saddiq mengumumkan menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berasa hairan kerana isu yang dibangkitkannya iaitu keputusan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan Yayasan Akalbudi dan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) langsung tidak mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir.
Malah katanya, Dr Mahathir serta pembangkang tidak mengetahui keputusan parti Muda untuk menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Mereka sampai terkejut dan tak sangka Ahli Parlimen kerajaan sanggup gadai RM3.8 juta untuk ambil keputusan yang berprinsip,’’ katanya. – 15 September, 2023