KUALA LUMPUR – Bintang terkenal Hollywood, Paris Hilton berada di ibu negara hari ini bagi mempromosikan Ruby Rush, minyak wangi terbaharunya.
Pihak media dan beberapa selebriti terkenal tanah air serta pempengaruh telah diundang untuk beramah mesra dengan pewaris syarikat perhotelan Hilton itu di sebuah acara tertutup sebelum beliau keluar bertemu para peminat di sebuah pusat membeli-belah ternama di tengah kota.
Beberapa bintang tempatan yang dilihat hadir termasuklah Afifah Nasir, Shaza Bae, Atisha Khan, Nazreem Musa dan ramai lagi.
Namun, apa yang menjadi perhatian netizen adalah pakaian yang dipakai Paris berbanding selebriti tempatan ke acara tersebut.
Netizen memuji Paris yang tampil berpakaian sopan dan manis dengan dress biru panjang, sementara beberapa artis Malaysia pula dilihat berpakaian seksi mengalahkan bintang Hollywood.
Beliau turut tampil berpakaian sopan kala keluar bertemu dengan orang ramai dan peminat yang setia menunggu kehadirannya di kompleks beli-belah berkenaan.
Ramai yang memuji kecantikannya dan teruja melihat selebriti tersebut dari dekat.
Ini adalah kunjungan kedua penyanyi Stars Are Blind itu ke Malaysia. Sebelum ini Paris berada di Bangkok pada 11 September, juga untuk mempromosikan minyak wangi Ruby Rush. – 13 September, 2023