KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai esok, susulan keputusannya menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sudah menerima surat daripada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.
“Saya menerima surat, beliau memohon mengubah tempat, tidak ada masalah, saya sudah meminta pihak pentadbiran mengubah tempat beliau ke tempat pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Syed Saddiq menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang enam hari bermula hari ini yang memberi tumpuan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, sesi perbahasan Ahli Parlimen dijadual tiga hari bermula esok dan jawapan kementerian berkaitan pada 18 serta 19 September.
Terdahulu, Johari menerima kunjungan hormat Speaker Parlimen Korea Selatan, Kim Jin-pyo dengan kedua-dua pihak membincangkan beberapa perkara, termasuk kerjasama dalam bidang teknologi.
“Saya mengajak beliau melihat dari sudut ASEAN kerana kita akan menjadi pengerusi bagi persidangan 2025…bagaimana teknologi dia ada dan tenaga buruh kita ada, bagaimana kita boleh membangunkan rantau ini sebagai rantau dihormati,” katanya.
Jin-Pyo juga meluangkan masa menyaksikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, selain mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Dr Junaidi Tuanku Jaafar. – 11 September, 2023