KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar atau lebih mesra dengan panggilan Cik Piah mengakui tidak kisah memakai kaca mata hitam berharga RM2.30.
Menerusi hantaran dimuatnaik Feeya atau nama sebenarnya Nor Shafiza Iskandar Azizan, 34, di Instagram miliknya, dia dilihat bergaya bersama kaca mata hitam yang baru dibelinya itu.
“Lawa juga spek (kaca mata) yang dibeli di kedai RM2 ini tadi. Tak rugi beli,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Menurut Feeya, dia tidak kisah tentang harga murah, asalkan sesuatu yang dibelinya itu cantik dan praktikal.
“Di zaman ekonomi kita yang tidak memberangsangkan ini, apa salahnya jika saya beli barang yang murah tetapi masih kelihatan cantik apabila dipakai.
“Mungkin ada sesetengah orang berpendapat biar ‘papa kedana, asalkan bergaya’. Tetapi bagi saya, kalau barang itu cantik dan murah, lagi saya suka.
“Kadang-kadang orang tak tahu pun harga barang yang kita pakai tu murah atau tak. Macam kaca mata hitam yang saya pakai ni, saya beritahu sahaja yang saya beli di kedai RM2.30,” katanya kepada Scoop.
Tambah ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi, setiap orang mempunyai selera masing-masing dalam bergaya.
Bagaimanapun, Feeya menitipkan pesanan kepada orang ramai agar berpada-pada dalam berbelanja supaya tidak membebankan diri di kemudian hari.
“Bukan semua barang saya beli di kedai RM2.30. Ada juga barang saya yang mahal. Tetapi kenalah bijak untuk suaipadankan.
“Cukup sekadar satu atau dua tas tangan berjenama. Yang lain saya lebih selesa bersederhana,” katanya. – 11 September, 2023