Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ketua pengarah JPJ anggotai pasukan khas untuk dapat akses maklumat, tiada kepentingan apa-apa | Scoop

Ketua pengarah JPJ anggotai pasukan khas untuk dapat akses maklumat, tiada kepentingan apa-apa

Pasukan yang akan dianggotai Unit Integriti kementerian itu diamanahkan menyiasat dakwaan salah laku yang dibuat saluran Telegram Edisi Siasat

3:52 PM MYT

 


PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan wujud sebarang kepentingan dalam penubuhan pasukan petugas khas menyiasat dakwaan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkait pendaftaran nombor plat klasik kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu turut dianggotai Ketua Pengarah JPJ (Datuk Rospiagos Taha) bagi membolehkan akses siasatan yang lebih menyeluruh diperoleh.

“Sudah mesti (pasukan itu) dianggotai JPJ. Sebab Ketua Pengarah JPJ sekarang baru. Jadi dia sebut (pihak mendakwa) isu itu adalah dari 2016, jadi Ketua Pengarah tidak ada kepentingan.

“Sebab itu perlu ada penglibatan JPJ. Sebab dia memerlukan akses kepada maklumat daftar dan sebagainya. Kalau tiada penglibatan Ketua Pengarah JPJ bagaimana dia boleh akses maklumat,” katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Persidangan Parti DAP 2023 di sini, hari ini.

Loke semalam berkata, pasukan yang akan dianggotai Unit Integriti kementerian itu diamanahkan menyiasat dakwaan salah laku yang dibuat saluran Telegram Edisi Siasat.

Terdahulu, Edisi Siasat mendakwa wujud skandal JPJ apabila nombor plat klasik dihidupkan semula dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit, dengan kegiatan itu dikatakan didalangi pegawai JPJ sendiri.

Turut disertakan dokumen 28 muka surat dikenali ‘JPJandora Papers’ yang antara lain memaparkan senarai nombor plat kenderaan klasik yang didakwa dipunggah keluar, didaftarkan hak milik serta termasuk ada yang sudah dijual dengan harga amat lumayan sama ada kepada individu atau syarikat.

Dokumen itu turut memperincikan jumlah nombor yang disenarai berdasarkan tahun iaitu sejak 2007, selain mengikut negeri dengan Selangor, Perak dan Johor antara paling tinggi.

Semalam, Loke juga mengarahkan JPJ untuk memperbaiki sistem JPJeBid yang menghadapi kekangan kapasiti pada waktu puncak. – 10 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related