KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara tidak rasmi sudah pun keluar daripada Kerajaan Perpaduan apabila membuat keputusan bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos lalu.
Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, parti itu tidak perlu memberi amaran untuk turun ke jalan raya atau menarik sokongan terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).
“Tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen. Lagipun Muda secara tidak rasmi sudah keluar Kerajaan Perpaduan.
“Muda tanding solo di PRN enam negeri. Semua hilang deposit. MUDA yang langgar “Red Line”,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Puad berkata, Muda tidak seharusnya menjadikan keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ugutan agar parti itu diterima masuk PH.
“Tunggu penjelasan apa lagi. Rupa-rupanya Muda juga malas baca 11 alasan Pendakwa Raya. Daripada ugut kerajaan hilang majoriti dua pertiga elok Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kosongkan kerusi.
“Bolehkah Muar dan Puteri Wangsa menang tanpa sokongan PH? Confirm (sah) tidak berani. Cuma mengugut,” katanya.
Hantaran terbaharu Puad itu dipercayai merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq yang memberitahu mereka akan menilai semula sokongan terhadap kerajaan serta mungkin turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan berhubung kes mahkamah Zahid.
Katanya, Muda menganggap keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu terhadap kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.
Kerajaan ketika ini disokong oleh 148 daripada 222 Ahli Parlimen, dan ia merupakan jumlah asas untuk membentuk majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.
Ketika ini Muda mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat iaitu presiden parti itu sendiri, Syed Saddiq yang memenangi kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Muda juga mempunyai seorang wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor apabila Amira Aisya Abd Aziz memenangi kerusi Wangsa Puteri pada PRN negeri itu, awal tahun lalu. – 7 September, 2023