Puteri Sarah nekad teruskan saman, enggan jumpa Wiwi walaupun diajak bertemu

Sarah menambah, dia juga telah menghubungi bekas bapa dan ibu mentuanya untuk menjelaskan perkara ini

Menurut Puteri Sarah Liyana, selepas dia meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang, wanita berkenaan telah menghubunginya untuk berjumpa, tetapi dia enggan bertemu - Gambar Scoop, 6 September, 2023

KUALA LUMPUR — Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana tetap akan meneruskan saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar yang dikenali sebagai Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan.

Menurut Sarah, dia telah pun berbincang dengan bekas suami iaitu Syamsul Yusof mengenai isu ini.

“Saya dapat tahu segala info tentang wanita berkenaan yang masih lagi bercakap tentang saya di media sosial pada hari saya baru habis tempoh edah.

“Bila berlaku pada hari itu saya tertanya-tanya kenapa perkara ini tak habis-habis lagi. Saya tak kacau awak, awak pun janganlah kacau saya.

“Bila saya tengok apa yang dia tulis bukan sahaja melibatkan saya tetapi turut membabitkan keluarga saya dan juga Syamsul.

“Bila saya dapat semua bukti itu, saya terus hubungi Syamsul. Saya tanya dia apa nak buat ni? Kita dah tak ada masalah, tetapi orang pula ada masalah dengan kita. Kalau saya tak buat sesuatu, perkara ini akan berpanjangan dan akan menjejaskan imej saya.

“Jadi Syamsul kata pada saya, awak buatlah apa yang awak nak buat. Saya okey sahaja”, katanya ketika ditemui pada sidang media.

Sarah menambah, dia juga telah menghubungi bekas bapa dan ibu mentuanya untuk menjelaskan perkara ini dan mereka memberi keizinan kepadanya untuk melakukan apa sahaja tindakan.

“Mereka juga kesian dengan saya dan mahu saya menjalani kehidupan dengan tenang. Mungkin ada yang kata saya ni tak habis-habis dengan isu ini, tetapi saya berharap biarlah ini yang terakhir. Saya juga sudah penat,” jelasnya.

Ditanya adakah dia berkemungkinan akan menarik semula saman ini seperti yang pernah dilakukan terhadap Ira Kazar sebelum ini, kata Sarah kali ini dia nekad dengan pendiriannya.

“Kali ini saya memang buat betul-betul dan tak akan tarik semula. Saya tarik saman terdahulu kerana saya dan Syamsul mencapai kata persetujuan supaya kami masing-masing boleh hidup dengan tenang dan jalani kehidupan masing-masing. Tetapi bila semuanya telah selesai, timbul pula isu ini,” ujarnya.

Kongsinya lagi, selepas dia meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang, wanita berkenaan telah menghubunginya untuk berjumpa, tetapi dia enggan bertemu.

“Saya tak balas pun mesej dia. Biarlah pihak peguam saya yang uruskan. Jika kami terus bercakap secara peribadi, takut timbul hal lain pula”, katanya.

Beralih ke soal kerjaya, Sarah bakal muncul dengan teater muzikal kanak-kanak berjudul Pak Pandir Dan Labu Ajaib.

Teater Pak Pandir dan Labu Ajaib bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 13 hingga 15 Oktober ini turut dijayakan oleh Janna Nick, Bell Ngasri, Noreen Iman, Aya Amiruddin, Naque Ariffin dan ramai lagi – Gambar Scoop, 6 September, 2023

“Dalam teater ini, saya bawa watak antagonis bernama Ratu Sukma yang merupakan seorang nenek kebayan. Saya baru sahaja habis drama Hijrah Jannah dimana saya turut membawakan watak antagonis. Jadi agak mudah untuk saya kekalkan momentum watak antagonis dalam teater ini,” kongsinya.

Teater yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 13 hingga 15 Oktober ini turut dijayakan oleh Janna Nick, Bell Ngasri, Noreen Iman, Aya Amiruddin, Naque Ariffin dan ramai lagi. – 6 September, 2023