JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen digesa membuka lebih banyak kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, terdapat keperluan untuk ia dilaksanakan bagi memudahkan rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Singapura untuk pulang mengundi.
Menurutnya, hasil kaji selidik dan temu bual yang dijalankan mendapati pekerja Malaysia di Singapura menyatakan komitmen mereka untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.
“Bukan semua 30 peratus pengundi yang bekerja di Singapura tinggal di sana, kebanyakannya adalah mereka yang berulang-alik ke republik itu.
“Ada yang mengadu sedih tak dapat melaksanakan tanggungjawab kerana terpaksa bekerja pada hari tersebut. Ada juga menyatakan kesungguhan untuk pulang mengundi,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Markas Polis Marin Wilayah 2, hari ini.
Susulan itu, Suhaizan berkata, permintaan tersebut sudah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dilaksanakan demi memudahkan rakyat Malaysia yang menetap di Singapura.
“Perkara itu sudah saya ajukan kepada KDN agar lebih banyak kaunter dibuka bagi memudahkan pengundi yang bekerja di Singapura pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Langkah ini juga membolehkan pengundi yang bekerja di Singapura dapat pulang dengan selesa pada Jumaat dan Sabtu ini,” katanya.
Sementara itu, Suhaizan yakin penyokong Barisan Nasional (BN) tetap akan memberikan undi kepadanya walaupun tiada logo dacing di atas kertas undi pada PRK kali ini.
“Kita menekankan wakil Kerajaan Perpaduan dalam PRK kali ini. Jadi bila wakil kerajaan, maknanya semua yang mendukung Kerajaan Perpaduan itu adalah satu kumpulan sama.
“Walaupun parti tidak bertanding tapi mewakilkan PH. Ia juga sebenarnya menjadi calon kepada parti lain. Ini juga akan berlaku pada PRK DUN Pelangai tidak lama lagi.
“Walaupun kita masih tidak ada keputusan lagi (calon dari parti mana) tapi status quo adalah dari BN. Jadi kita (PH) akan bantu BN dan Umno nanti,” katanya. – 5 September, 2023