KUALA LUMPUR – Pemerhatian yang dijalankan ke atas operator pesawat peribadi Jet Valet Sdn Bhd, pemilik pesawat ringan Beechcraft Model 390 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam bulan lepas, mendedahkan beberapa nama tokoh korporat terkenal yang berada di bawah radar pihak berkuasa.
Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), modal saham RM1 juta syarikat itu dibahagikan antara dua pengarahnya, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed serta anaknya, Datuk Sulaiman @ Mohamed Helmi.
Dengan saham masing-masing bernilai RM500,000, dua beranak itu merupakan pengarah tunggal dan pemegang saham syarikat berkenaan, yang diperbadankan pada 15 Disember 2020 ketika negara sedang bertarung dengan pandemik Covid-19.
Sulaiman, yang dilantik sebagai pengarah pada tarikh sama syarikat itu ditubuhkan, disertai oleh bapanya dua hari kemudian.
Meskipun dokumen SSM menunjukkan tiada rekod mengenai bekas pengarah atau pemegang saham, maklumat kewangan syarikat berkenaan pula dinyatakan sebagai ‘tidak tersedia’ dalam dokumen yang turut menyatakan bahawa semua maklumat adalah daripada “dokumen syarikat yang didaftarkan pada 5 Februari 2023’’.
Sementara itu, perniagaan Jet Valet disenaraikan sebagai “makanan dan minuman di gerai/penjaja di pasar; pengimportan jentera kegunaan umum lain NEC (tidak dikelaskan di tempat lain); aktiviti perkhidmatan lain yang berkaitan dengan pengangkutan udara NEC.”
Pada 17 Ogos, nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, menggorbankan 10 mangsa termasuk enam penumpang dan anak kapal pesawat terbabit, penunggang e-hailing Foodpanda dan pemandu Grab.
Salah seorang mangsa yang terkorban adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
Pesawat tersebut terhempas dua minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, selepas berlepas dari Lapangan Antarabangsa Langkawi dan tidak membuat panggilan kecemasan sebelum nahas berlaku.
Serba Dinamik Holdings Bhd
Jet Valet menampilkan Ilyas dalam kedudukan tinggi sebagai ahli perniagaan dan sebelum ini beliau memegang jawatan berpengaruh dalam pelbagai syarikat, terutama syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB).
Ilyas adalah pengerusi SDHB sebelum meletak jawatan pada 25 November 2021, dengan syarikat berkenaan mendakwa perletakan jawatan itu didorong oleh peraturan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia yang melarangnya daripada menjalankan tugas di syarikat itu.
Peletakan jawatan itu dilakukan selepas SDHB menukar tahun kewangannya yang berakhir 31 Disember, 2021 kepada 30 Jun, 2021, sebelum gagal menyerahkan laporan tahunannya untuk tahun 2020 dan kemudian melanjutkan tahun kewangannya kepada enam bulan kemudian.
SDHB kemudiannya berdepan siasatan susulan laporan audit dalaman oleh KPMG pada bulan Mei tahun yang sama yang mendapati terdapat transaksi meragukan lebih RM4.54 bilion.
Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Consulting), telah dilantik sebagai juruaudit khas untuk menjalankan ‘Semakan Bebas Khas’ mengenai isu yang dibangkitkan oleh KPMG, kemudiannya menjadi sasaran saman daripada SDHB untuk menghalang firma berkenaan daripada mengeluarkan sebarang laporan atau penemuan mengenai syarikat itu.
Permohonan SDHB untuk mendapatkan perintah injunksi terhadap EY Consulting bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lepas, dengan hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengarahkan SDHB membayar kos RM20,000 kepada firma berkenaan.
SDHB juga telah memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia Bhd pada 3 November, 2021, dan mendakwa Bursa bertindak ‘di luar bidang kuasa’ dan wujudnya tema asas bahawa pengendali pasaran ekuiti tempatan itu campur tangan dalam proses audit Serba Dinamik.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 13 April juga mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.
Mereka yang terbabit adalah CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, Pengarah Eksekutif Datuk Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi serta Naib Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.
Selepas Ilyas meletak jawatan dari SDHB, Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen yang difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung syarikat berkenaan dan tiga anak syarikatnya pada Januari lalu.
Keempat-empat syarikat itu dikatakan mempunyai jumlah hutang hampir RM5 bilion.
Pada 16 Mac, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SDHB dan tiga anak syarikatnya untuk menggantung secara kekal perintah penggulungan terhadap mereka sementara menunggu rayuan dengan hakim Ahmad Murad Abdul Aziz memerintahkan keempat-empat syarikat terbabit membayar kos keseluruhan RM11,000 kepada enam institusi kewangan yang bertindak sebagai pempetisyen.
Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) juga mengumumkan SDHB termasuk di dalam kriteria Nota Amalan No 17 (PN17) mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa itu pada 6 Januari tahun lepas selepas mencetuskan kriteria yang ditetapkan menurut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(d).
Syarikat terbabit telah mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities untuk membatalkan sekuriti syarikat daripada dinyahsenarai di bursa tempatan pada 23 Ogos tahun ini.
Awesome Media Network Sdn Bhd
Ilyas juga adalah pengarah Awesome Media Network Sdn Bhd, yang terbabit dalam kontroversi apabila Awesome TV telah dikritik berhubung laporan berbaur perkauman mengenai SDHB dan Sapura Energy Bhd.
Dalam laporan Berita 7:57, Awesome TV menuduh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Zaid Jaafar Albar gagal membantu kedua-dua syarikat Bumiputera itu dalam masalah kewangan mereka dan secara salah melabelnya sebagai bukan Melayu.
Laporan itu, disiarkan pada Mei tahun lepas, hingga mendapat kecaman ramai, hingga mendorong kaitan antara individu utama di Awesome TV dan SDHB.
Berdasarkan dokumen SSM, Awesome Media Network diketuai oleh Ilyas bersama dengan empat pengarah lain iaitu anaknya, Datuk Adam Mohamed Ilyas, isteri Adam iaitu Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, Datuk Irwan Shah Abdullah (D.J. Dave) dan Johan Mohamed Ishak.
Johan, merupakan pengarah bebas SDHB sebelum meletak jawatan pada 25 November 2021, iaitu hari sama di mana Ilyas meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat,
Johan juga berkhidmat sebagai timbalan editor pengurusan untuk Berita 7:57.
Ilyas, bagaimanapun telah melepaskan jawatan sebagai editor pengurusan Berita 7:57 pada Februari tahun ini.
Berdasarkan struktur pemegang saham, majoriti saham RM1 juta Awesome Media Network dipegang oleh Awesome Broadcasting Sdn Bhd dengan nilai RM550,000 – manakala pelaburan yang dipegang oleh AP Holding Bhd, di mana Ilyas adalah pengerusi dan anaknya, Sulaiman sebagai pengarah, memegang saham bernilai RM300,000.
Sementara baki saham bernilai RM150,000 saham dipegang oleh Ezzan, Awesome Media Network beroperasi dalam keadaan defisit dan dalam keadaan kewangan yang teruk.
Malah maklumat kewangan syarikat untuk tahun kewangan berakhir pada Disember, 2021 yang dibentangkan pada Mac tahun ini menunjukkan syarikat berkenaan mencatatkan kerugian RM53.06 juta di samping pendapatan RM2.83 juta.
Pada November tahun lepas, Awesome TV dilaporkan gagal melunaskan bayaran kepada penerbit drama. Timbalan Presiden Penerbit Televisyen Malaysia, Datuk A. Aida mendakwa beberapa penerbit mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas menunggu bayaran selama setahun.
Manakala pada Mei tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mendenda Awesome TV sebanyak RM250,000 atas pelbagai kesalahan, termasuk beroperasi tanpa lesen.
Difahamkan lesen itu dikeluarkan kepada Awesome Broadcasting Sdn Bhd tetapi ia digunakan oleh Awesome Media Network Sdn Bhd, telah melanggar Seksyen 36 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang pemindahan lesen tanpa kelulusan bertulis daripada Menteri yang bertanggungjawab bagi komunikasi dan multimedia.
Awesome TV juga menjadi perhatian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila ia dilaporkan menyeru orang Melayu keluar mengundi bagi menghalang kaum lain daripada berkuasa.
Sebagai tindak balas kepada kecaman netizen itu yang melabelkan ia sebagai berbaur kecaman, Awesome TV telah mempertahankan siaran itu, dengan menyatakan bahawa niat mereka hanyalah untuk memaklumkan pengundi Melayu bahawa kerajaan baharu mungkin boleh menjejaskan kebajikan mereka jika mereka tidak mengundi.
Pada 20 Februari tahun ini, MCMC telah memanggil Awesome TV berhubung enam kesalahan berkaitan dengan penerbitan yang tidak mematuhi undang-undang.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, kesalahan itu dilakukan apabila Awesome TV mendakwa kerajaan merancang untuk mengurangkan 800,000 penjawat awam. – 5 September, 2023