Air mata Amelina tumpah, teringatkan perjuangan diri saat rakamkan lagu Warisan

Kata Amelina, sebelum ini, sudah ramai penyanyi merakamkan lagu Warisan versi mereka sendiri. Tapi, belum ada lagi yang membuatnya dalam versi dangdut.

Amelina berkata, sebagai seorang penyanyi profesional, dia perlu sentiasa tampil dengan idea yang unik dan berbeza serta membuat banyak improvisasi terhadap perkara-perkara yang baharu - Gambar Instagram, 1 September, 2023

KUALA LUMPUR — Terlalu banyak air mata penyanyi Amelina yang tumpah saat merakamkan lagu Warisan yang pernah dipopularkan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam versi dangdut yang mellow dan perlahan.

Merakamkan lagu itu bukan hanya setakat untuk mengingati perjuangan orang-orang dahulu  demi menuntut kemerdekaan negara, sebaliknya ia juga merupakan sebahagian daripada luahan dan isi hati sebenar Amelina terhadap perjuangan hidupnya sendiri.

“Memang saya berasa cukup sebak bahkan turut menangis saat menyanyi lagu ini kerana menerusi bait-bait liriknya yang cukup mendalam dan bermakna, saya dapat melihat perjuangan mereka sampai merdeka sehinggalah perjuangan saya sendiri sebagai ibu, anak dan penyanyi irama dangdut.

“Segala kesedihan, kelukaan dan penderitaan yang saya lalui dan jalani cuba saya sampaikan melalui  jiwa nurani saya. Terus-terang saya sangat berpuas hati dengan hasil rakamannya. Berbaloi rasanya saya menangis waktu merakamkan lagu ini,” katanya kepada Scoop.

Menurut Amelina atau Norazlina Amir Sharupuddin lagi, sebagai seorang penyanyi profesional, dia perlu sentiasa tampil dengan idea yang unik dan berbeza serta membuat banyak improvisasi terhadap perkara-perkara yang baharu.

“Sebelum ini, sudah ramai penyanyi merakamkan lagu ini dalam versi mereka sendiri. Tapi, belum ada lagi yang membuatnya dalam versi dangdut. Itulah yang cuba saya lakukan dalam Warisan.  

“Saya tahu bila sebut dangdut sahaja orang akan rasa seram sejuk.  Oh, habis hancurlah lagu Merdeka, jadi kelab dangdutlah lagu ni! Jadi, saya mahu buktikan pada semua bahawa tidak semua lagu dangdut itu hanya lagu-lagu yang rancak, bergelek sampai ke tanah atau asyik hendak menggeletis sampai ke sudah.

“Macam irama lain, dangdut juga ada yang melodinya perlahan atau separuh perlahan dan saya rasa saya telah berjaya menyampaikan lagu ini dalam lenggok irama dangdut tanpa merosakkan irama keaslian lagu tersebut. Tapi, kalau orang nak kritik juga, terserahlah.

“Cuma apa yang boleh saya katakan, muzik ini sebenarnya sangat unik. Dalam sesebuah lagu, ia boleh membawa kita ke mana sahaja dan apa-apa genre sekalipun. Yang saya bawakan dengan Warisan adalah dalam versi saya sendiri dan feel saya sendiri,’’ katanya.

Mengulas tentang erti kemerdekaan bagi, penyanyi lagu Asyik dan Di Dadaku Ada Kamu ini berkata, merdeka baginya adalah satu kejayaan kepada perjuangan hidup dan diri kita selama ini dalam apa yang kita usahakan dan apa yang kita hendak capai.

“Juga menghapus segala fikiran negatif. Dulu, saya pernah rasa saya tidak boleh berjaya, akan hancur dan sebagainya. Tapi dengan adanya kekuatan dari segi mental, fizikal dan iman akhirnya saya mampu menepisnya.

“Saya juga rasa sudah merdeka dari segi perjuangan selama lapan tahun sebagai ibu tunggal. Perjuangan saya dalam membesarkan anak-anak cukup berbaloi. Begitu juga dengan perjuangan dalam membahagiakan keluarga, emak dan adik-beradik.

“Tapi selama kita hidup, banyak perjuangan lain yang perlu kita hadapi dan teruskan. Cuma kita kena hargai setiap kejayaan yang kita perjuangkan itu,” katanya. – 1 September, 2023