KUALA LUMPUR – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan jangkaan limpahan hasil lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk pekerjaan dengan gaji lebih baik dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat lebih adil dan makmur.
“Pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi ini penting untuk menaikkan dan memperluaskan masyarakat kelas pertengahan.
“Arah aliran mega global seperti peningkatan peranan teknologi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kelestarian, anjakan demografi serta rantaian nilai globalisasi mengubah sifat pekerjaan,” katanya ketika melancarkan NIMP 2030 di sini, hari ini.
NIMP 2030 yang menjadi komponen utama Ekonomi MADANI, mengambil pendekatan berasaskan misi jelas dan akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem sektor pembuatan, malah seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian serta merealisasikan wawasan Malaysia.
Anwar berkata, transformasi kemahiran adalah kunci untuk membangunkan kecekapan masa depan dan ia sudah ditetapkan sebagai fokus strategi perindustrian negara.
“Bagi memenuhi permintaan industri, kita akan melaksanakan sistem gaji progresif yang menggalakkan pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.
“Kerjasama awam-swasta akan dipertingkatkan dalam program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bagi memastikan pemerolehan kemahiran diperlukan industri,” katanya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan yakin strategi dalam NIMP 2030 akan membuahkan hasil bermakna dan memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Dari segi pekerjaan, katanya, pertumbuhan pada 2.3 peratus diunjurkan dari 2023, menyediakan pendapatan untuk 3.3 juta orang pada 2030.
“Trajektori pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri disebabkan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara maju ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi serta peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi,” kata beliau
Beliau berkata, menerusi NIMP, gaji median atau penengah upah untuk sektor pembuatan dijangka naik 9.6 peratus, mencecah RM4,510 daripada RM1,976 di bawah purata kebangsaan, walaupun peranan dominan sektor itu dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Peningkatan 128 peratus daripada 2021 ini didorong peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” tambahnya. – 1 September 2023