5 lagu patriotik Jalur Gemilang zahirkan rasa cinta yang mendalam pada negara

Bendera Malaysia telah ditukar kepada nama Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1997 dan ia adalah simbol kedaulatan negara yang sangat penting.

Jalur Gemilang adalah identiti negara dan sempena Hari Merdeka ini, sama-samalah kita mengibarkan bendera Malaysia ini sebagai tanda kebanggaan negara. - Gambar Scoop, 31 Ogos, 2023

KUALA LUMPUR — Bendera Malaysia adalah simbol kedaulatan negara dan ia menjadi salah satu lambang terpenting negara selain jata, lagu Negaraku, Rukun Negara, bunga raya dan harimau.

Dicipta Mohamed Hamzah yang juga artikek Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor pada 1947, bendera Malaysia mula dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957.

Namun, bendera Malaysia kemudian ditukar kepada nama Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan ke-40.

Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur melintang yang berwarna merah putih secara berselang seli.

Kuning dalam lambang kedaulatan negara, biru tua merupakan perpaduan rakyat dalam negara berbilang kaum, merah bukti keberanian, kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran manakala putih melambangkan kesucian dan keikhlasan dan kesungguhan.

Bintang Pecah 14 pada kotak biru tua Jalur Gemilang pula melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan di Malaysia. Bulan sabit menandakan Islam sebagai agama rasmi.

Scoop telah menghimpunkan lima lagu patriotik tentang Jalur Gemilang yang mampu menzahirkan semangat dan rasa cinta yang begitu mendalam terhadap negara.

Jalur Gemilang

Lagu patriotik ikonik ciptaan Pak Ngah Suhaimi dan lirik oleh Siso Kopratasa yang dilancarkan pada 9 Ogos 2003 ini telah diangkat sebagai lagu tema sempena hari kemerdekaan negara yang ke-46.

Dipersembahkan kumpulan Swara, lagu ini yang dicipta khusus untuk bendera Malaysia ini dapat membangkit semangat cintakan negara kerana ia jelas membawa mesej tentang gambaran dan maksud bendera Malaysia.

Benderaku

Bagi yang membesar pada tahun 1980-an, lagu Benderaku ciptaan Tony Fonseka ini pasti meninggalkan kesan yang begitu mendalam.

Walau sudah beberapa dekad berlaku, lagu ini tetap ikonik dan rentak march pada melodi lagu patriotik ini serta liriknya yang padu mampu membuatkan semangat dan jiwa kita berkobar-kobar dan sungguh membara.

Tegakkan Bendera Kita

Mungkin ramai yang kurang mengetahui bahawa penghibur Allahyarham Datuk Seri Sudirman Arshad mempunyai sebuah lagi lagu patriotik berjudul Tegakkan Bendera Kita.

Ciptaan komposer S Atan dan lirik oleh Sudirman sendiri, lagu ini mengajak kita untuk menghormati bendera Malaysia yang menjadi lambang negara dan kita harus hidup bersatu padu di bawah naungannya.

Kibarkan Jalur Gemilang

Lagu fast mode yang tidak diketahui penciptanya ini mempunyai gabungan rentak tradisional dan moden.

Dinyanyikan secara beramai-ramai, lagu ini mengajak kita untuk mengibarkan Jalur Gemilang, agar kedaulatan negara dirasai dan pada masa yang sama kita turut sama dapat menjulang kemerdekaan negara.

Berkibar Bendera Malaysia

Sebuah lagu patriotik kanak-kanak. Ia dilancarkan di saluran YouTube, Lagu Kanak TV pada 24 Jun 2019 dan hingga kini telah meraih 128,093 tontonan.

Pencipta lagu ini tidak diketahui tetapi usaha yang dilakukan pemilik saluran ini sangat bagus sekali.

Setidak-tidaknya ia dapat membantu menerapkan rasa cinta terhadap Jalur Gemilang kepada anak-anak kecil. – 31 Ogos, 2023