KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama membabitkan 80 anak pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sebelum ini menetap di depot tahanan Imigresen akan dipindahkan ke penempatan baharu di Nilai, Negeri Sembilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun itu akan dipindahkan dalam masa terdekat dan menyifatkan langkah itu tindakan paling tepat dari sudut perikemanusiaan oleh Kerajaan Madani.
“Biarlah ia satu permulaan yang kecil dan kali ini usaha itu dikendalikan oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) sendiri dan bukannya kita tidak alu-alukan agensi lain.
“Buat masa ini, 80 kanak-kanak itu diambil daripada Depot Imigresen Semenyih, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bukit Jalil.
“Negara jiran, Thailand sejak 2019 sudahpun mengasingkan kanak-kanak di bawah 18 tahun daripada depot Imigresen mereka,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulan KDN di Putrajaya, hari ini.
Saifuddin turut mengimbau pengalaman ketika meninjau sebuah depot Imigresen Semenyih sekitar Februari lalu dan mendapati seorang tahanan wanita dilihat bersama seorang bayi berusia 20 hari.
Beliau mengakui keadaan depot Imigresen ketika ini tidak sesuai didiami kanak-kanak apatah lagi bayi yang baharu lahir.
“Itulah keadaan depot yang kita ada, lantainya papan dan dindingnya pula dawai besi serta tiada tilam dan alas. Malah angin pagi pula cukup sejuk dan keadaan itu cukup menginsafkan,” katanya.
Justeru, katanya, beliau mahu Ketua Pengarah Imigresen dan penasihat undang-undang kementerian supaya melihat semula akta sedia ada termasuk meneliti konvensyen kanak-kanak bagi mengatasi isu berkenaan.
Berdasarkan laporan sebelum ini terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan Imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.
Difahamkan, daripada jumlah itu, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan KDN belum mendapat laporan penuh mengenai dakwaan pihak berkuasa Singapura menceroboh perairan negara dan mengancam nelayan tempatan di Johor baru-baru ini.
“Saya kena tunggu laporan dahulu. Buat masa ini, saya belum dapat laporan daripada bahagian berkenaan,” katanya. – 22 Ogos, 2023