Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Anwar mahu noktahkan dasar negara yang menguntungkan golongan elit | Scoop

Anwar mahu noktahkan dasar negara yang menguntungkan golongan elit

PM menekankan kepentingan mengembangkan dasar tindakan afirmatif agar lebih berasaskan keperluan daripada berasaskan kaum

7:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menamatkan dasar negara yang menguntungkan golongan kaya namun mengabaikan keperluan masyarakat yang kurang kemampuan.

Menjelaskan bahawa kerajaan tidak mahu “memansuhkan” hak Melayu atau keistimewaan Bumiputera, Anwar mengingatkan bagaimana pentadbiran terdahulu telah menerima kecaman kerana melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan cara yang menguntungkan golongan elit.

“Ini bukan tentang pemansuhan (hak Melayu dan keistimewaan Bumiputera). Isunya ialah tentang memberi tumpuan kepada perkara yang penting bagi mereka.

“Kecaman utama terhadap DEB di bawah rejim dahulu ialah bagaimana mereka menggunakan (dasar) untuk mengayakan anak-anak dan keluarga mereka. Saya perlu menoktahkan amalan ini,” katanya dalam temu bual dengan rangkaian berita AS CNBC.

Sambil menegaskan bahawa dasar tindakan afirmatif perlu diperluaskan supaya lebih berasaskan keperluan dan bukannya berasaskan kaum, Perdana Menteri berkata perbezaan sosioekonomi antara lokaliti berbeza di negara ini mesti diambil kira semasa membangunkan dasar untuk rakyat.

“Kita tidak boleh bercakap tentang meritokrasi tulen, dari kawasan pedalaman di Sarawak hingga ke sekolah-sekolah utama di Kuala Lumpur. Saya fikir hujah sama diguna pakai (kepada dasar tindakan afirmatif).  Apabila (dasar) dianggap terlalu tertumpu kepada kaum, ia menimbulkan kemarahan dan kebimbangan.

“Sebaliknya, jika kita memberi tumpuan kepada isu keperluan dan keadilan sebagai kesaksamaan, kita boleh teruskan dasar tindakan afirmatif.

“Jika (matlamat) dasar sedemikian adalah untuk mewujudkan usahawan baharu (dan) menyediakan pendidikan berkualiti untuk golongan yang tidak berkemampuan, maka ia merupakan sesuatu, pada minda saya, bukan sahaja munasabah tetapi mustahak.”

Sebelum ini, Anwar berkata, sistem kuota pelajar Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar daripada masyarakat di institut pengajian tinggi.

Tambahnya, bagaimanapun mempunyai sistem kuota tidak bermakna meritokrasi sudah mati, kerana kerajaan mesti mencari jalan untuk memberi peluang kepada pelajar bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang cemerlang dalam bidang akademik. – 21 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related