KUALA LUMPUR — Sudah tiba masanya semua pekerja dalam sektor gig ekonomi seperti penghantar makanan diwajibkan mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mahu Perkeso lebih tegas dengan majikan atau penyedia perkhidmatan sektor ekonomi gig atau lejang untuk memastikan semua pekerja mereka sentiasa dilindungi.
”Jika mereka hanya pekerja separuh masa, pastikan sedikit wang hasil pendapatan dicarumkan walaupun RM2 bagi memastikan nasib mereka terbela jika berlaku apa-apa musibah.
“Walaupun sebenarnya pemandu dan penunggang e-hailing sebelum ini diwajibkan di bawah program tersebut namun, masih wujud kelemahan serta kelonggaran dilakukan majikan apabila mangsa yang terlibat dalam kejadian nahas pesawat itu tidak mencarum,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Khamis lalu, penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh terkorban dalam nahas pesawat ringan di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.
Seorang lagi mangsa, pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari turut terkorban dalam tragedi sama yang mengorbankan lapan yang lain.
Sementara itu Foodpanda dalam komen di Facebook memaklumkan semua penghantar makanannya diinsuranskan secara automatik dan percuma semasa waktu bekerja.
“Jadi waris akan menerima pampasan mengikut faedah yang berkenaan,’’ katanya.
Menerusi pautan pandariders.my, Foodpanda memaklumkan Insurans berkenaan adalah melalui kaedah bayar dahulu dan tuntut kemudian.
“Bermula pada 1 Ogos, semua tuntutan insurans akan menggunakan platform portal web terbaru Bersama Policy Street. Untuk sebarang tuntutan sebelum 1 Ogos 2023, sila hubungi talian whatsapp khidmat pelanggan: 014 3703130,’’ demikian menurut pautan berkenaan.
Sementara itu, Surau Al Ihsan di Desa Vista telah melancarkan tabung kilat bagi memberi bantuan segera dan sebagai sokongan kepada keluarga Sharipuddin.
“Sharipuddin merupakan penduduk Desa Vista. Sehubungan itu, dengan rasa prihatin dan tanggungjawab Surau Al Ihsan melancarkan tabung kilat yang telah bermula semalam sehingga 21 Ogos, Isnin ini.
“Bantuan boleh disalurkan melalui akaun Cimb bank Surau Al Ihsan iaitu, 8600568398. Selepas menderma, diharapkan boleh memberikan makluman perkara itu kepada bendahari surau, saudara Rahim di talian 0199373680,” katanya. – 19 Ogos, 2023