SABAK BERNAM — Meskipun pada awalnya ramai yang meragui kemampuan Nur Syazwani Mohamed Rizal sebagai pengendali dron pertanian namun berkat kesabaran dan kemahiran yang ditunjukkan kini wanita berusia 28 tahun ini menjadi pilihan utama pesawah di sekitar Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sekinchan.
Syazwani, yang merupakan bekas jurutera sebuah syarikat swasta beralih ke bidang berkenaan yang dimonopoli kaum lelaki kerana mahu membantu pesawah selain mempunyai bidang itu mempunyai masa depan yang cerah.
Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Syazwani ialah menyembur baja dan racun di sawah dengan menggunakan dron dan kini beliau melebarkan sayap dengan menawarkan khidmat sama kepada pengusaha ladang kelapa sawit, kebun pisang, nanas, jagung dan tanaman fertigasi lain.
Menyentuh mengenai masalah yang dialaminya ketika menjalankan tugas, Syazwani berkata, selain persepsi masyarakat yang meragui kemampuan wanita, kekangan lain ialah kesukaran petani untuk menguruskan pertanian mereka dengan menggunakan dron.
“Jabatan Pertanian perlu memberikan pendedahan, turun padang dan berjumpa dengan semua pemegang taruh agar mereka boleh memahami pentingnya penggunaan teknologi dron dalam industri penanaman padi bagi menggantikan kaedah penyemburan racun tradisional.
“Ia juga mampu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja malah penggunaan dron terbukti membantu petani menjimatkan kos serta masa,” katanya kepada Scoop ketika ditemui baru-baru ini.
Syazwani, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu bukanlah calang-calang pengendali dron kerana beliau juga mampu membaiki dan memprogramkan semula dron yang rosak, malah ramai pengendali dron lelaki turut menghantar mesin terbabit kepadanya untuk diperbaiki.
Mengenai waktu kerjanya, Syazwani akan mula menjalankan kerja-kerja menyembur baja dan racun mulai 6.30 pagi hingga 11 pagi dan menyambung semula pada waktu petang hingga tengah malam.
“Untuk satu lot padi seluas kira-kira 1.2 hektar, masa yang diperlukan untuk dron menyembur racun dan baja adalah antara 20 hingga 30 minit termasuk persediaan membancuh racun, memasang dron dan sebagainya,” katanya yang memiliki beberapa dron cunton termasuk jenis DJI, kapasiti 16 liter yang berharga antara RM35,000 hingga RM65,000 sebuah.
Selain itu, Syazwani yang turut menyediakan kursus pengendalian dron kepada masyarakat sekitar Sungai Besar hingga Kuala Selangor berpendapat sudah tiba masanya kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan atau dana pemula kepada individu yang baru mula berjinak-jinak dengan industri dron pertanian.
“Jangan hanya menghadkan bantuan mereka yang sudah terlibat dengan pertanian namun pemain dron ini perlu diberi bantuan. Bagi saya, kalau beri dana kewangan separuh harga (bagi membeli dron) itu sudah cukup baik,’’ katanya.
“Kita sudah mulakan langkah dengan kerjasama Agrobank dalam memberi kelulusan pertanian berkonsepkan teknologi pintar seperti penggunaan dron selepas menerima penerangan dari kami bahawa industri ini cerah dan pemain mampu membayar semula hutang bank. Lantaran itu, bantuan dari kerajaan itu perlu kerana setakat ini hanya bank swasta berkenaan menawakan pinjaman kepada pengendali dron,” katanya. – 20 Ogos, 2023