KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 10 kenderaan mengalami kerosakan teruk susulan sebahagian struktur bumbung di sebuah premis lima tingkat di Jalan Kuchai Lama, di sini, runtuh malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kejadian yang berlaku pada kira-kira 10.30 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, pihak bomba melakukan pemeriksaan di setiap tingkat dan mengesahkan tiada mangsa terlibat.
“Buat masa ini, polis dan pihak bomba terpaksa menutup premis berkenaan sebagai langkah keselamatan daripada sebarang aktiviti sehingga ia disahkan selamat.
“Saya meminta orang ramai untuk menjauhi lokasi kejadian ini selain tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian memandangkan ia berlaku ketika cuaca baik dan tidak hujan.
Terdahulu, kejadian berkenaan dirakam penduduk berhampiran sebelum ia tular di Facebook. – 16 Ogos, 2023