Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Saya terkhilaf, kalau PRN, PRU-15 serentak mampu hasil momentum berbeza: Izzah | Scoop

Saya terkhilaf, kalau PRN, PRU-15 serentak mampu hasil momentum berbeza: Izzah

Kerajaan Perpaduan juga kehilangan masa melaksanakan inisiatif penting bagi membangunkan ekonomi negara kerana fokus berkempen

3:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan peratusan keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin dapat dielakkan sekiranya ia diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November tahun lalu.

Justeru, akuinya, beliau terkhilaf dengan tindakan itu kerana keputusan PRN kali ini menunjukkan PAS berjaya memikat hati pengundi muda.

“Saya akui sendiri terkhilaf kerana tidak mahukan PRN diadakan bersama dengan PRU-15.

“Ternyata, melaksanakan kedua-duanya bersekali mampu menghasilkan momentum yang perlu bagi meraih peratus keluar mengundi yang maksimum,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Pada PRN kelmarin, hanya Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 70 peratus diikuti Kedah (68 peratus), Pulau Pinang (67 peratus), Selangor (65 peratus), Negeri Sembilan 62 peratus manakala Kelantan paling rendah dengan 56 peratus.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) pula kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, Kerajaan Perpaduan juga kehilangan masa melaksanakan inisiatif penting iaitu Perancangan Ekonomi Madani; Pelan Transisi Tenaga Kebangsaan; Inisiatif Gaji Progresif serta Perancangan Industri Kebangsaan (hujung Ogos) bagi membangunkan ekonomi negara kerana fokus berkempen.

Susulan itu, beliau mendesak agar agensi komunikasi kerajaan diperkukuh supaya inisiatif, kejayaan dan usaha murni Kerajaan Perpaduan sampai terus kepada rakyat.

“Kita seolah-olah masih dalam kerangka minda pasungan pandemik apabila pengundi memperlihat kecemasan ekonomi, kos sara hidup secara konsisten dan berterusan walaupun statistik menunjukkan penurunan inflasi ekonomi.

“Jangan lupa, pertarungan akan tiba lagi nanti maka usaha memenangi hati dan mendengar denyut jantung rakyat berjalan terus,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang menawarkan khidmat sebagai sukarelawan sepanjang tempoh berkempen.

“Terima kasih juga buat semua yang menawarkan khidmat sebagai seorang sukarelawan. Ketika suka kita diduga dan ketika sedih jua begitu!” katanya. – 14 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related