Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lafaz Rukun Negara akan dibaca penuh bermula dengan mukadimah - Aaron | Scoop

Lafaz Rukun Negara akan dibaca penuh bermula dengan mukadimah – Aaron

Cadangan untuk dikembalikan lafaz Rukun Negara dibaca penuh itu telah diluluskan Kabinet pada 25 Julai lepas

6:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lafaz ikrar Rukun Negara kini akan diselaraskan bermula dengan bacaan penuh mukadimah diikuti lima prinsip berkenaan di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan di seluruh negara sebagai usaha menyemai taat setia dan rasa cintakan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Anak Dagang berkata cadangan untuk dikembalikan lafaz Rukun Negara dibaca penuh itu telah diluluskan Kabinet pada 25 Julai lepas.

“Dengan kelulusan itu, sekarang kita menggerakkan aktiviti Eksplorasi Rukun Negara dengan bermulanya majlis peluncuran pada hari ini. Selepas ini, semua aktiviti membabitkan program Rukun Negara akan digerakkan ke seluruh negara dengan kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam meningkatkan usaha ini.

“Kita juga mencadangkan supaya lafaz Rukun Negara turut dilakukan pada setiap kali majlis pembukaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya pada Majlis Peluncuran Eksplorasi Rukun Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata program eksplorasi yang dilancarkan hari ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan Kementerian Perpaduan Negara yang telah merangka program di bawah Flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.

“Usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai ejen penyatupaduan rakyat dan membangkitkan sifat patriotisme dalam kalangan mereka.

“Sebelum ini, memang ada bacaan lafaz Rukun Negara, namun hanya pada lima prinsip, apa yang kita mahu ialah mukadimah yang mengandungi cita-cita Rukun Negara kerana lima prinsip itu hanya rumusan tapi yang menyentuh hati ada pada cita-cita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik telah disusun di bawah program itu bagi menyemarakkan penghayatan Rukun Negara di peringkat tadika, sekolah dan institusi pengajian tinggi, antaranya Dialog Anak Muda, Ekspresi Rukun Negara dan beberapa aktiviti lain. – 13 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related