KUALA LUMPUR – Saat ini lagu Keranamu yang dipersembahkan MK, Yonnyboii, Sufian, Meerfly dan Dani Kurama sedang viral di TikTok dan YouTube serta menjadi topik hangat yang diperkatakan netizen.
Kenapa ia menjadi perhatian netizen? Rupa-rupanya ia adalah lagu yang dicipta khusus untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kebetulan hari ini adalah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-76.
Rata-rata netizen mengakui lagu ini memiliki melodi yang cukup sedap serta lirik pula cukup membakar semangat.
‘Selagi ku bernyawa, ku pejuangkan segalanya, keranamu, selagi ku bernyawa, ku pertahankan segalanya, keranamu’ merupakan antara bait-bait dalam lagu berkenaan.
Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa lagu-lagu yang dihasilkan untuk PMX dan Kerajaan Perpaduan lebih hebat, berkualiti serta menepati cita rasa anak-anak muda.
Bahkan ada juga melahirkan rasa kagum terhadap generasi anak-anak muda kerana mereka jelas memberikan sokongan terhadap kerajaan yang memerintah.
Keranamu adalah melodi ciptaan Dani Kurama, manakala liriknya ditulis Dani Kurama beserta Danish Faiq.
Ia mula dilancarkan di saluran YouTube, CapriceOriginalFilms sejak semalam dan sehingga saat ini, ia telah meraih tontonan lebih 74,000 tontonan. – 10 Ogos, 2023