KUALA LUMPUR — Selepas seminggu lebih berkempen, akhirnya calon DUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet berkongsi manifesto lengkapnya dalam usaha terus melestarikan kawasan yang sebelum ini dikuasai Pakatan Harapan (PH) sejak tiga penggal berturut-turut.
Dalam manifestonya itu, Altimet menggariskan lima teras utama melibatkan belia, prasarana, ekonomi, sosial dan warga emas serta wanita.
Menurut Altimet, selama lebih 15 tahun pentadbiran PH di Selangor, ia membawa dan memacu pembangunan yang ingin diterjemahkannya ke Lembah Jaya secara lebih cekap.
“Visi saya adalah untuk membangunkan Lembah Jaya yang lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, berteraskan nilai hormat dan ihsan (Madani).
“Tawaran manifesto saya menggariskan tekad kami dalam menggembleng tenaga sesama penggerak perubahan demi melakar masa depan yang lebih cerah untuk rakan-rakan di Lembah Jaya bagi mencapai matlamat seperti yang dilampirkan.
“Pemimpin terdahulu telah melaksanakan usaha yang baik dan kali ini saya menawarkan yang lebih baik,” katanya.
Antara yang terkandung dalam manifesto itu ialah mewujudkan program-program kemahiran, sukan dan reakreasi dengan struktur sistematik secara tahunan serta mengenal pasti peluang pekerjaan untuk masyarakat anak muda Lembah Jaya.
Turut diberikan perhatian ialah prasarana seperti jalan raya, kebersihan taman-taman dan flat, keselamatan serta kemudahan awam akan ditingkatkan termasuk meningkatkan kualiti prasarana di dewan-dewan awam, kawasan rekreasi serta rumah ibadat.Lain-lain ialah menubuhkan pusat tuisyen percuma untuk golongan keluarga yang tidak berkemampuan serta menyediakan platform latihan secara bersepadu.
Untuk warga emas dan wanita pula, dicadangkan penglibatan wanita pelbagai peringkat usia serta aktiviti-aktiviti berkaitan termasuk menjaga kebajikan warga emas yang memerlukan bantuan kesihatan dan peralatan. – 9 Ogos, 2023