Pentadbiran Anwar di landasan betul, serius ringankan beban golongan miskin yang bekerja

Beliau sedang berusaha membetulkan ketidaksamaan ekonomi dan politik institusi, justeru mesti diberi masa dan ruang melaksanakannya

Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan betul bagi melaksanakan program meningkatkan kebajikan rakyat, termasuk yang lama tertangguh oleh kerajaan terdahulu. - Gambar Scoop, 7 Ogos, 2023

PILIHAN Raya Negeri (PRN) yang diadakan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), terbukti menjadi pertempuran yang boleh menetapkan trajektori politik Malaysia untuk masa hadapan.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan ujian berat ke atas mandat politiknya, kurang setahun selepas memegang kuasa, malah menerima serangan bertubi-tubi daripada pembangkang yang menggunakan isu kaum dan agama untuk cuba menggugat pentadbiran Perdana Menteri dan kini mahu meraih undi.

Buat pertama kali dalam beberapa dekad, Malaysia mempunyai peluang sebenar untuk menetapkan semula kedudukannya dan meletakkan asas ke arah masyarakat sosial, ekonomi serta politik yang moden dan progresif.

Adalah malang apabila ada pihak yang menggunakan kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat, bukannya menumpukan kepada perjuangan idea untuk memajukan Malaysia serta rakyat.

Semasa kerajaan dibayangi ahli politik terpalit rasuah dan kroni perniagaan, rakyat biasa yang dikategorikan sebagai B40 dan M40 paling menderita, apabila ia menyaksikan krisis kos sara hidup teruk dihadapi rakyat Malaysia ekoran akibat langsung daripada keadaan itu.

Manakala, kerajaan yang korup dan ahli perniagaan menurunkan gaji melalui pelbagai komplot, seperti menggunakan serta menyalahgunakan buruh asing dan menafikan hak kesatuan sekerja.

Kos rasuah dan tadbir urus yang tidak betul diambil kira dalam ketidakcekapan membabitkan sistem ekonomi, dengan populasi B40 dan M40 menanggung beban tidak seimbang.

Pentadbiran Anwar jelas serius untuk meringankan beban ekonomi golongan miskin yang bekerja. Ia sudah memulakan perbincangan ke arah mekanisme gaji baharu dan komited ke arah mengkaji semula gaji kakitangan awam dan pesara.

Ini sudah lama tertangguh dan kerajaan terdahulu hanya memberi kata-kata mengenainya, sedangkan mereka sebenarnya sedang memacu jurang lebih luas antara golongan berduit dan yang lain. Pakatan yang tidak suci antara ahli politik dan perniagaan besar sejak pentadbiran pertama Dr Mahathir, menyebabkan rakyat biasa dan pekerja menjadi golongan yang meletakkan harapan serta meminta.

Itu adalah warisan Mahathirisme yang akan terukir dalam sisi malang sejarah Malaysia, manakala Anwar sedang berusaha ke arah membetulkan ketidaksamaan ekonomi dan politik institusi, justeru mesti diberi masa serta ruang untuk berbuat demikian.

Terdapat jalan yang jauh di hadapan. Sebagai sebahagian daripada langkah Anwar ke arah meningkatkan pendapatan, kekayaan dan tahap gaji mereka yang berada di bawah piramid ekonomi, beliau perlu melakukan pembaharuan secara institusi.

Ini termasuk meningkatkan hak kesatuan sekerja, terutama membabitkan hak pekerja untuk diwakili kesatuan sekerja tanpa dihalang oleh perniagaan, selain kesatuan perkhidmatan awam harus diberi hak untuk terlibat dalam perundingan kolektif dengan kerajaan.

Pentadbiran Anwar berada di landasan betul. Rakyat harus mempertimbangkan sama ada ia mahu diwakili oleh Kerajaan progresif dan berpandangan ke hadapan atau satu-satunya yang mempunyai matlamat untuk menyemai perpecahan berdasarkan kaum serta agama. – 7 Ogos, 2023

Callistus Anthony D’Angelus adalah Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).