BATANG KALI – Penduduk di kawasan Batang Kali mengakui kecewa selepas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diisytihar kosong oleh Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim selepas Adunnya, Harumaini Omar tidak hadir tanpa kebenaran ketika tempoh persidangan dewan melebihi enam bulan sejak 28 Julai tahun lalu.
Menurut mereka, keadaan ini memberikan kesedaran kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat yang lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
Salah seorang pengundi kawasan berkenaan, Rina Shafie, 48, dia bagaimanapun tidak terkejut dengan keadaan politik sekarang, di mana wakil rakyat boleh ‘meninggalkan’ pengundi begitu sahaja.
“Bagi saya, orang (pemimpin) yang tidak boleh buat kerja memang patut tinggalkan jawatan Adun dari awal lagi.
“Saya harap wakil rakyat selepas ini, jangan lagi buat hal selepas dipilih. Jangan nak fikir kuasa sahaja, fahami masalah penduduk di sini, khususnya peniaga tepi jalan. Jangan hanya bermanis ketika kempen namun lepas itu ghaib sehingga sukar untuk adakan pertemuan mahu pun turun padang,” katanya yang merupakan seorang peniaga ketika ditemui Scoop di Jalan Meranti, di sini,hari ini.
Kerusi DUN Batang Kali sebelum ini disandang oleh Harumaini yang merupakan calon Bersatu, mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti undi 8,315, menewaskan penyandang, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Mohd Hasnizan Harun.
Bagaimanapun apabila Bersatu meninggalkan PH pada Februari 2020, Harumaini enggan menyertai langkah tersebut sebaliknya menyertai Pejuang.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Ridzuan Zakaria, 48, yakin pengundi di DUN Batang Kali sudah pastinya akan lebih berhati-hati untuk memilih calon agar tidak lagi tersilap langkah dalam melantik calon yang berjiwa rakyat.
Ridzuan yakin calon BN DUN Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim mempunyai peluang cerah untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana sering turun padang dan tidak kekok beramah mesra bersama penduduk.
“Corak pola pengundi di sini unik sikit sebab mereka tidak akan memilih berdasarkan parti, namun akan melihat setiap calon yang ditawarkan untuk bertanding. Pengundi di sini lebih berani dan bijak memilih calon berbanding parti.
“Saya melihat Mohd Isa mempunyai peluang untuk mencapai kemenangan, namun itu belum pasti. Saya turut mengharapkan mereka yang kalah nanti harus terima hakikat. Jadilah pembangkang kuat dalam menegur kerajaan agar perubahan drastik untuk rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, pelajar kolej swasta, Muhammad Afiq Rahim, 25, calon yang lebih berwibawa perlu diberi peluang untuk menguruskan DUN Batang Kali.
“Dengan politik zaman sekarang, saya rasa tak terkejut sebab kebanyakan pemimpin tak ikhlas.
“Pada mulanya, memang nampak mereka ikhlas berjuang, saya bimbang apabila dah melibatkan pertukaran politik, masuk parti itu ini, mereka dah tak laksanakan tanggungjawab. Oleh itu, saya yakin penduduk di sini akan meneliti semua calon sebelum mengundi,” katanya yang turut membantu keluarga berniaga petai di Batang Kali. – 6 Ogos, 2023