BALING – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa ‘keceluparan’ kata-kata hingga tidak menghormati institusi raja boleh membawa padah.
Perdana Menteri berkata, sikap biadap terhadap institusi raja boleh menyebabkan seseorang itu berdepan hukuman penjara.
“Hang (Sanusi) langgaq (langgar) raja, hang maki aku hari-hari, ok buat sementara ini. Hang langgaq raja, hang masuk mahkamah, kemudian masuk jail (penjara), bilik (lokap) aku dulu kosong.
“Yang lapor pasal raja siapa dia, Dewan Diraja Selangor, yang pergi minta maaf Ketua PAS Selangor,
“Raja (Sultan) Selangor kata apa, tak setuju, tak selesai, yang tangkap siapa.. polis, yang dakwa Peguam Negara, yang salah Anwar Ibrahim.
“Sultan Perak bantah buat kenyataan, orang PAS guna nama Sultan Perak kata Sultan Perak sokong PAS…. Sultan Perak arah buat laporan polis, tangkap, dakwa …. kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di pentas ceramah Jelajah Perpaduan Madani Kedah di Padang Awam Kupang dekat sini malam tadi.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Perdana Menteri turut mengingatkan Sanusi supaya tidak mengheret Sultan Kedah dalam permainan politiknya.
“Ya saya jumpa sultan, ada benda nak bawa sebelum saya jadi Perdana Menteri, untuk orang datang melabur.
“Bukan pasal meniaga, bukan tubuh syarikat, jangan nak kaitkan Sultan Kedah, kita pohon menghadap, baginda terima menghadap.
“Jangan pula jadi bahan politik di sini, nak lawan, lawan… Saifuddin tanya kamu (Sanusi) jawab, tak boleh jawab duk diam-diam, kalau tak boleh jawab biar kalah.
“Dok cakap merapu, meroyan maki orang hari-hari bukan kerja dia, (jadi) buat kerja, mana pelaburan? Masalah pendidikan, mutu pendidikan, kesihatan, pekerjaan anak-anak muda, itu tanggungjawab kita ( sebagai kerajaan),” katanya.
Dalam pada itu Anwar mengingatkan pengundi memilih calon yang mampu membawa perubahan di negeri Kedah.
“Jadi jangan lupa 12 haribulan, kita bawa perubahan di negeri Kedah, saya jamin setakat yang saya mampu, insyaAllah.
“Kalau kekal persahabatan, kepercayaan seperti mana ada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, saya percaya akan kekal di Semenanjung sebagai parti terkuat dalam negara
“Perlu tiap orang ahli UMNO, PKR, MCA, MIC, DAP, Amanah, pastikan kita menang dengan bergaya, semua calon sama ada PH atau BN adalah calon kita, calon perpaduan,” katanya. – 5 Ogos, 2023.