KUALA LUMPUR – Apa sahaja yang dilakukan oleh Baddrol Bakhtiar selepas beliau menjadi calon untuk bertanding di DUN Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, menjadi perhatian netizen.
Selepas tular video tentang Baddrol yang enggan mendedahkan manifestonya, terbaru satu lagi video menjadi tular di media sosial yang memaparkan bekas pemain bola sepak pasukan Kedah itu memberi ucapan sambil membaca teks.
Disebabkan itu, beliau telah ‘dibahan’ oleh netizen kerana dikatakan belum cukup layak untuk ‘bermain’ politik.
Video itu telah mendapat perhatian calon DUN Lembah Jaya mewakili gabungan PH-BN iaitu penyanyi rap, Altimet.
Dalam ciapan semula yang dibuat di akaun Twitter, Altimet telah memberikan kata-kata semangat buat Baddrol.
“Bagi dia masa. Semua orang mula dalam keadaan kurang mahir. Berucap ni satu ‘skill’ yang boleh asal dengan berlatih,” tulisnya dalam ciapan itu.
Baddrol kemudian dilihat telah memuatnaik semula gambar tangkap layar ciapan Altimet itu dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinannya.
“Insyaallah akan saya perbaiki. Semoga dipermudahkan segala urusan kita dalam membantu rakyat di kawasan kita. Terima kasih Altimet. ‘Good Luck’,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Altimet kemudiannya telah membalas ucapan Baddrol itu dan menyampaikan hasrat untuk bertemu dengannya.
“Pelan-pelan kayuh sahabat. Ada rezeki, ada masa kita berjumpa. Insyaallah,” tulis Altimet.
Sementara itu, netizen dilihat gembira dengan hubungan baik di antara Altimet dan Baddrol yang saling menyokong di antara satu sama lain biarpun berlainan parti. – Scoop, 2 Ogos 2023